KEMENTERIAN Pelajaran akan melaksanakan kurikulum persekolahan baru
iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) mulai 2016 dan Kurikulum
Standard Sekolah Menengah (KSSM) pada 2017 dalam usaha melonjak sistem
pendidikan negara.
Kurikulum baru itu dirangka berdasarkan tanda aras antarabangsa bagi
memastikan murid dan pelajar yang dilahirkan oleh sistem persekolahan di
negara ini memiliki kemahiran yang diperlukan untuk bersaing di
peringkat global.
Ia merangkumi dimensi intelek, emosi dan fizikal setiap murid serta
menekankan aplikasi pengetahuan serta perkembangan pemikiran kritis,
kreatif dan inovatif selain memberi peluang melibatkan diri dalam
aktiviti sukan dan kurikulum.
Pengenalan kurikulum baru itu juga selaras dengan pemansuhan
Penilaian Menengah Rendah (PMR) mulai 2014 serta perubahan penilaian ke
atas murid tahun enam yang tidak lagi dibuat berdasarkan keputusan Ujian
Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semata-mata.
Ini kerana mulai 2016 juga gred pencapaian UPSR murid tahun enam
tidak akan lagi ditentukan melalui peperiksaan awam sahaja tetapi
digabung sekali dengan pentaksiran sekolah dan pentaksiran pusat.
Pelaksanaan kurikulum baru ini pula akan melalui tiga fasa iaitu
gelombang satu (2012-2015) iaitu fasa persediaan, gelombang kedua
(2016-2020) iaitu fasa pelaksanaan dan gelombang ketiga (2021-2025)
iaitu fasa pentaksiran.
Menurut Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025,
sebagai persiapan sebelum memperkenalkan kurikulum baru itu kementerian
akan memurnikan kurikulum sedia ada dan mempergiatkan sokongan kepada
guru bagi meningkatkan sistem penyampaian.
"Kementerian sedar masih banyak yang perlu dilakukan untuk memastikan
keberkesanan pelaksanaan kedua-dua aspek kurikulum baru ini, untuk itu
gelombang pertama transformasi pendidikan akan memberi tumpuan kepada
inisiatif jangka pendek.
"Ia bagi memastikan kurikulum bertulis, kurikulum yang diajar dan
kurikulum pentaksiran dapat ditambah baik selain meletakkan asas kepada
perubahan fundamental sebelum gelombang kedua dan ketiga dilaksana dan
dikaji semula untuk melihat tahap pencapaian," jelas laporan itu.
Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my
mohdasron.mustapha@utusan.com.my