"Barang siapa memudahkan urusan (mukmin) yang sulit nescaya Allah akan memudahkan urusannya di dunia & akhirat" -Hadith Riwayat Imam Muslim-

Tuesday 3 March 2009

Dua pendekatan untuk transformasi pendidikan

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengambil dua pendekatan yang membawa kepada transformasi dan rombakan yang radikal kepada sistem pendidikan negara menjelang tahun 2010. Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata dua pendekatan itu akan diambil bagi membolehkan ia sesuai dengan tuntutan semasa, khususnya membabitkan murid sekolah rendah dan pra-sekolah. "Pendekatan pertama adalah dengan mengkaji dan menilai semula kurikulum dan ko-kurikulum persekolahan. Bermakna program rintis yang kita lakukan ketika ini mengambil kira betapa pentingnya anak-anak kita di bangku sekolah rendah lagi memahami sejarah dan latar belakang asal usul mereka," katanya kepada pemberita di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.
Hishammuddin berkata, melalui pendekatan pertama itu, kementerian juga akan membangunkan sistem pentaksiran pendidikan kebangsaan (PPK) yang holistik untuk menilai bukan saja pencapaian akademik pelajar tetapi juga mengambil kira aspekintelek, rohani, jasmani, emosi dan secara bersepadu. Beliau berkata dalam konteks itu, "penilaian berasaskan bilik darjah" akan diberi penekanan di mana Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semata-mata tidak memadai untuk menapis pelajar cemerlang bagi ditempatkan di Sekolah Berasrama Penuh. Hishammuddin berkata, pendekatan kedua adalah untuk melihat semula dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) selepas mengambil kira pandangan semua pihak, penyesuaian serta penambahbaikannya di sekolah rendah dan mengambil kira serta mengutamakan sekolah luar bandar.
Beliau berkata, melalui dasar PPSMI ini, kementerian sudah berada diperingkat akhir dalam meneliti, menganalisis dan mendengar pandangan semua pihak yang berkepentingan sebelum diserah kepada jemaah menteri. "Sebelum itu, kertas yang akan diserahkan kepada jemaah menteri ini akan diedar kepada kementerian yang berkaitan bagi mendapatkan ulasan...susah hendak dijangka apakah keputusan jemaah menteri bila dibincangkan kelak kerana ia banyak bergantung kepada ulasan kementerian," katanya. - Bernama

Popular Posts