"Barang siapa memudahkan urusan (mukmin) yang sulit nescaya Allah akan memudahkan urusannya di dunia & akhirat" -Hadith Riwayat Imam Muslim-

Sunday, 25 October 2009

LABBAIKALLAHU MMALABBAIK

21 Okt 2009 bersamaan 02 Zulkaedah 1430H, LabbaikaLLAHU mmalabbaik labbaikala syarikala kala baik innal hamda wannikmata........ Penerbangan jemaah haji yang pertama di Malaysia telah bermula. Alhamdulillah Selamat Berangkat Para Jemaah Haji Malaysia semoga mendapat haji mabrur. Di IPGMKKB, 2 orang rakan pensyarah telah berangkat pada 21 Okt 2009 yang lalu iaitu Muhaimin dan Iskandar dari Jabatan Bahasa, selamat berangkat dan semoga mendapat haji mabrur haji yang diterima oleh Allah.

Ramai jemaah haji Malaysia menitis air mata ketika menziarahi Makam Saidina Hamzah yang terletak di kaki Bukit Uhud, iaitu kawasan bersejarah yang dulunya pernah mencatatkan sejarah hitam kekalahan pertama tentera Islam di tangan tentera kafir Qurais.

Mereka terlalu hiba melihat keadaan Makam Saidina Hamzah yang disemadikan bersama 69 pejuang Islam yang mati syahid dalam perang Uhud yang mengakibatkan Nabi Muhammad SAW turut cedera dan terpaksa bersembunyi di salah sebuah gua di bukit tersebut.

Saidina Hamzah dibunuh oleh orang suruhan Hindun Utbah bernama Wahsyi AlHabsyi bagi membalas dendam terhadap kematian bapanya dalam perang Badar sebelum itu. Setelah dibunuh, Hindun mengeluarkan jantung Saidina Hamzah dan dimakan.

Makam Saidina Hamzah hanya diletakkan batu-batu bukit berwarna hitam dan di sekitar makam itu pula menempatkan para shuhada yang lain tanpa batu nisan. Kawasan perkuburan itu yang terletak di sebelah masjid dikelilingi oleh pagar besi berlatarbelakangkan Bukit Uhud.

Bagi mereka yang menziarahi kawasan itu akan dapat melihat bukit kecil berhampiran makam tersebut iaitu kawasan di mana pasukan pemanah berkuda melanggar arahan Nabi Muhammad SAW apabila turun dari kedudukan mereka untuk merebut harta rampasan perang sebelum tentera Qurais menyerang balas.

Jemaah Malaysia, Naimah Kasdan, 47, ketika ditemui berkata, dia bersyukur kerana dapat menziarahi makam itu yang mencatatkan kisah sedih mengenai peristiwa gugurnya terlalu ramai tentera Islam termasuk bapa saudara Nabi. Beliau memberitahu, setiap jemaah pasti akan merasa terharu apabila melihat makam tersebut terutama apabila mengingati kisah perang Uhud.
"Sedih dan sayunya apabila melihat keadaan Makam Saidina Hamzah apalagi mengenangkan kematian pejuang-pejuang Islam dalam peperangan itu," kata Naimah yang datang bersama suaminya, Yusoff Bakar, 61, di bawah rombongan Tabung Haji.

Seorang lagi jemaah, Rosni Mahmud Zahidin, 48, pula berkata, beliau terlalu bersyukur kerana mendapat peluang menziarahi makam tersebut. "Selama ini saya hanya mengetahuinya melalui pembacaan tetapi kali ini saya dapat menjejakkan kaki sendiri di kawasan yang pernah mencatatkan kisah hitam kekalahan tentera Islam. "Para syuhada itu terkorban pada peringkat awal kedatangan Islam dan pengorbanan mereka itu amat menyedihkan," katanya.

Bagi pelawat yang menziarahi makam itu digalakkan memberi salam dengan membaca doa, "Mudah-mudahan sejahtera ke atas bapa saudara Nabi Muhammad, Saidina Hamzah bin Abdul Mutalib. Assalamualaikum wahai singa Allah dan singa Rasullullah. Assalamualaikum wahai penghulu syuhada."

Sementara itu, jurucakap Tabung Haji memberitahu, setakat pukul 11.20 malam tadi, jumlah jemaah haji yang selamat tiba di kota Madinah meningkat kepada 5,310 jemaah, manakala jumlah petugas seramai 349 melalui 14 penerbangan.

Popular Posts