"Barang siapa memudahkan urusan (mukmin) yang sulit nescaya Allah akan memudahkan urusannya di dunia & akhirat" -Hadith Riwayat Imam Muslim-

Saturday, 31 December 2011

Jurnal Universiti Malaysia Perlis antara terbaik di dunia

KANGAR 29 Dis. - Jurnal terbitan penyelidik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) merangkul anugerah Computer Simulation Technology (CST) University Publication Award 2011 baru-baru ini yang meletakkannya sebagai salah sebuah daripada empat artikel terbaik di dunia dalam bidang elektromagnetik.

Artikel bertajuk Setup and Results of Pyramidal Microwave Absorbers Using Rice Husks diterbitkan dalam jurnal 'Progress in Electromagnetic Research' (PIER) pada Disember 2010 itu adalah hasil projek yang dilaksanakan oleh Nornikman Hassan.

Ia diselia oleh Dr. Mohd Fareq Abd. Malek (penyelia utama) manakala Soh Ping Jack dan Azremi Abdullah Al-Hadi bertindak sebagai penyelia bersama.

Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata, kejayaan tersebut meningkatkan kredibiliti UniMAP di peringkat antarabangsa.

"Kejayaan ini tambah bermakna memandangkan UniMAP merupakan penerima anugerah tersebut yang pertama di kalangan IPT (institusi pengajian tinggi) di Asia Tenggara dan artikel berkenaan akan direkodkan sebagai rujukan di laman web CST," katanya di sini.

Selain itu, kata beliau, UniMAP akan menerima dua lesen penuh perisian CST percuma selama setahun.

"Hanya empat jurnal dipilih untuk menerima pengiktirafan ini dan UniMAP bangga menjadi salah sebuah dari empat penulisan jurnal terbaik dunia.

"Ternyata usaha UniMAP menggalakkan penulisan jurnal di kalangan kakitangan akademik membuahkan kejayaan yang membanggakan," ujar beliau.

Tiga lagi universiti yang menerima pengiktirafan tersebut bagi tahun ini adalah dari Perancis, Amerika Syarikat dan Ireland.

Pemilihan dibuat berdasarkan impak kandungan saintifik terhadap komuniti penyelidikan elektromagnetik.

Anugerah CST dimulakan sejak 2003 dengan tiga atau empat artikel terbaik di seluruh dunia dalam elektromagnetik akan dikenal pasti untuk menerimanya pada setiap tahun.

Pemilihan dan anugerah dibuat oleh syarikat pembangun perisian elektromagnetik CST yang juga pemilik perisian CST Microwave Studio untuk mengiktiraf kepentingan sumbangan pihak universiti menerusi usaha-usaha penerbitan artikel saintifik berimpak serta menggalakkan penggunaan perisian simulasi secara optimum.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran CST, Dr. Martin Timm berkata, selepas lapan tahun penganjuran, penyertaan yang diterima untuk anugerah berkenaan begitu menggalakkan dan pihaknya menghadapi kesukaran untuk memilih pemenang memandangkan kualiti jurnal yang dipertandingkan semakin meningkat.

"Bagaimanapun, setelah beberapa siri pemilihan, empat jurnal ini dinilai sebagai yang terbaik," ujarnya.

Popular Posts