LAPORAN awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 telah
bukan sekadar menyediakan penilaian terhadap sistem pendidikan masa kini
dan kejayaan serta kegagalan sistem tetapi juga mengemukakan pelan yang
komprehensif ke arah pendidikan bertaraf dunia.
Antara perubahan besar yang akan dilaksanakan ialah memperkenalkan
kurikulum baru iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) mulai
tahun 2016 dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) pula pada
tahun 2017.
Kurikulum baru itu dirangka berdasarkan tanda aras antarabangsa yang
merangkumi dimensi intelek, emosi, fizikal setiap murid dan menekankan
aplikasi pengetahuan serta perkembangan pemikiran kritis, kreatif dan
inovatif selain memberi peluang melibatkan diri dalam aktiviti sukan dan
kurikulum.
Turut diberi keutamaan di dalam pelan tersebut ialah kurikulum dan
pentaksiran, pengukuhankemahiran berbahasa, intervensi ke arah
peningkatan prestasi sekolah, pendidikan khas dan pendidikan untuk murid
pintar cerdas.
Bukan itu sahaja, pelan itu juga menggariskan keseluruhan program
transformasi, termasuk menyusun inisiatif mengikut tahun pelaksanaan
antara tahun 2013 hingga 2025.
Pelan itu juga turut menggariskan aspirasi baru untuk keseluruhan
sistem pendidikan negara dan juga mengandungi analisis terperinci
tentang keberhasilan murid serta menetapkan prestasi semasa sistem
pendidikan negara.
Selain itu juga, pelan tersebut turut mengkaji peranan guru dan
pemimpin sekolah yang merupakan barisan hadapan sistem pendidikan
negara, dengan memberi tumpuan tentang cara meningkatkan kualiti serta
sokongan untuk guru dan pemimpin sekolah.
Jelas di sini bahawa pelan tersebut telah dirangka bagi menghadapi
cabaran abad ke-21 berasaskan dasar dan laporan terdahulu yang sangat
besar pengaruhnya.
Kementerian Pelajaran menyedari pentingnya pendidikan di dalam
menyediakan asas pembentukan negara bangsa dan pertumbuhan ekonomi mapan
selaras dengan matlamat transformasi Malaysia ke arah negara
berpendapatan tinggi.
''Pembaharuan pendidikan merupakan agenda penting setiap negara dan
Malaysia juga perlu memastikan pembangunan berterusan sistem pendidikan
supaya dapat bersaing pada peringkat global.
''Justeru, sistem pendidikan negara perlu melalui transformasi
menyeluruh dan sistematik sekiranya berhasrat melahirkan individu yang
mampu bersaing pada peringkat global," menurut laporan tersebut.
Kajian juga mendapati Malaysia telah mencapai kejayaan dalam tempoh
50 tahun melalui peluasan akses kepada pendidikan dan peningkatan dari
segi celik huruf dalam kalangan kumpulan dewasa dan penglibatan murid di
sekolah.
Bagaimanapun, laporan tersebut menegaskan, apabila dilihat dengan lebih mendalam, gambarannya lebih kompleks.
''Contohnya, perbezaan prestasi dan keupayaan di seluruh negeri, daerah dan sekolahwujud pada hari ini.
''Walaupun terdapat kelompok-kelompok sekolah dan daerah yang
cemerlang di seluruh negara, namun masih wujud jurang prestasi yang
perlu ditangani," menurut laporan itu.http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20120912/pe_10/Pendidikan-bertaraf-dunia