"Barang siapa memudahkan urusan (mukmin) yang sulit nescaya Allah akan memudahkan urusannya di dunia & akhirat" -Hadith Riwayat Imam Muslim-

Friday, 21 September 2012

Pendidikan bertaraf dunia

LAPORAN awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 telah bukan sekadar menyediakan penilaian terhadap sistem pendidikan masa kini dan kejayaan serta kegagalan sistem tetapi juga mengemukakan pelan yang komprehensif ke arah pendidikan bertaraf dunia.
Antara perubahan besar yang akan dilaksanakan ialah memperkenalkan kurikulum baru iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) mulai tahun 2016 dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) pula pada tahun 2017.
Kurikulum baru itu dirangka berdasarkan tanda aras antarabangsa yang merangkumi dimensi intelek, emosi, fizikal setiap murid dan menekankan aplikasi pengetahuan serta perkembangan pemikiran kritis, kreatif dan inovatif selain memberi peluang melibatkan diri dalam aktiviti sukan dan kurikulum.
Turut diberi keutamaan di dalam pelan tersebut ialah kurikulum dan pentaksiran, pengukuhankemahiran berbahasa, intervensi ke arah peningkatan prestasi sekolah, pendidikan khas dan pendidikan untuk murid pintar cerdas.
Bukan itu sahaja, pelan itu juga menggariskan keseluruhan program transformasi, termasuk menyusun inisiatif mengikut tahun pelaksanaan antara tahun 2013 hingga 2025.
Pelan itu juga turut menggariskan aspirasi baru untuk keseluruhan sistem pendidikan negara dan juga mengandungi analisis terperinci tentang keberhasilan murid serta menetapkan prestasi semasa sistem pendidikan negara.
Selain itu juga, pelan tersebut turut mengkaji peranan guru dan pemimpin sekolah yang merupakan barisan hadapan sistem pendidikan negara, dengan memberi tumpuan tentang cara meningkatkan kualiti serta sokongan untuk guru dan pemimpin sekolah.
Jelas di sini bahawa pelan tersebut telah dirangka bagi menghadapi cabaran abad ke-21 berasaskan dasar dan laporan terdahulu yang sangat besar pengaruhnya.
Kementerian Pelajaran menyedari pentingnya pendidikan di dalam menyediakan asas pembentukan negara bangsa dan pertumbuhan ekonomi mapan selaras dengan matlamat transformasi Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi.
''Pembaharuan pendidikan merupakan agenda penting setiap negara dan Malaysia juga perlu memastikan pembangunan berterusan sistem pendidikan supaya dapat bersaing pada peringkat global.
''Justeru, sistem pendidikan negara perlu melalui transformasi menyeluruh dan sistematik sekiranya berhasrat melahirkan individu yang mampu bersaing pada peringkat global," menurut laporan tersebut.
Kajian juga mendapati Malaysia telah mencapai kejayaan dalam tempoh 50 tahun melalui peluasan akses kepada pendidikan dan peningkatan dari segi celik huruf dalam kalangan kumpulan dewasa dan penglibatan murid di sekolah.
Bagaimanapun, laporan tersebut menegaskan, apabila dilihat dengan lebih mendalam, gambarannya lebih kompleks.
''Contohnya, perbezaan prestasi dan keupayaan di seluruh negeri, daerah dan sekolahwujud pada hari ini.
''Walaupun terdapat kelompok-kelompok sekolah dan daerah yang cemerlang di seluruh negara, namun masih wujud jurang prestasi yang perlu ditangani," menurut laporan itu.http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20120912/pe_10/Pendidikan-bertaraf-dunia

Popular Posts