"Barang siapa memudahkan urusan (mukmin) yang sulit nescaya Allah akan memudahkan urusannya di dunia & akhirat" -Hadith Riwayat Imam Muslim-

Thursday, 11 October 2012

SBA ganti PMR ukur prestasi

KUALA LUMPUR 10 Okt. - Tahap pencapaian para pelajar tingkatan tiga akan diukur melalui penilaian Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SBA) apabila Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan pada 2014.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, SBA itu akan dikendalikan oleh sekolah tetapi masih di bawah pengawasan dan pemantauan Lembaga Peperiksaan untuk memastikan soalan yang disediakan berkualiti, setara dan mampu mengukur prestasi para pelajar.
"Langkah dan pendekatan ini membolehkan ibu bapa mendapat maklumat terkini mengenai prestasi penguasaan pelajaran anak-anak mereka," katanya ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan perjalanan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gombak Setia di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk melihat seramai 599 pelajar sekolah itu menduduki peperiksaan tersebut yang bermula semalam.
Pada tahun ini, seramai 480,306 pelajar menduduki peperiksaan itu di 3,720 buah sekolah di seluruh negara,.
Muhyiddin berkata, selepas tahun 2014, hanya ada dua peperiksaan utama yang dijalankan iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Murid-murid dari Tahap Satu hingga Tahap 5, prestasinya diukur melalui SBA. Begitu juga di peringkat menengah sepanjang tahun pembelajaran yang tidak ada peperiksaan utama, prestasi pelajar diukur berasaskan kepada sistem tersebut," tambah beliau.
Mengulas mengenai pengambilan pelajar asrama di tingkatan empat selepas pemansuhan PMR, Muhyiddin berkata, proses kemasukan itu tetap diteruskan seperti biasa.
Katanya, proses pengambilan kemasukan pelajar di sekolah-sekolah berasrama penuh dan Maktab Rendah Sains Mara akan dibuat berdasarkan kecemerlangan dan latar belakang pelajar.
"Pelajar yang cemerlang dan latar belakang ibu bapa yang miskin akan diberi keutamaan untuk mendapat tempat di sekolah berasrama penuh dan amalan ini telah dimulakan sejak tahun lepas," katanya.

Popular Posts

There was an error in this gadget