"Barang siapa memudahkan urusan (mukmin) yang sulit nescaya Allah akan memudahkan urusannya di dunia & akhirat" -Hadith Riwayat Imam Muslim-

Friday, 13 November 2009

MOTIVASI PERJALANAN PH.D

Mereka yang berjaya menamatkan pengajian hingga ke peringkat Ph.D menceritakan bahawa laluannya bukan mudah dan penuh dengan ranjau berduri. Namun, apakah yang menyebabkan mereka nekad?

SUDAH tiga kali dia mengelilingi Bulatan Bistari berhampiran Seksyen 2, Shah Alam, Selangor. Dr. Siti Zabedah Mohd. Shariff, 53, seolah-olah sukar untuk menentukan arah yang hendak dituju. Semuanya menjadi serba tidak kena memandangkan di fikirannya hanya memikirkan kata-kata penasihat yang memintanya membaiki dan mempertingkatkan tesis Ph.Dnya.
Pada waktu itu Siti Zabedah mula resah dan kecewa. Pening memikirkan kaedah dan informasi tambahan yang diperlukan untuk memantapkan tesis berkenaan. Apatah lagi tempoh tamat pengajian semakin hampir sedangkan dia baru sahaja memulakan bab lima tesisnya.
"Proses pembelajaran di peringkat doktor falsafah (Ph.D) cukup memenatkan dan memeritkan. Sebelum ini saya pernah mendengar keluhan bahawa proses pengajian Ph.D cukup jauh berbeza dengan diploma, ijazah mahupun sarjana. Namun semangat yang berkobar-kobar untuk belajar saya tidak mengendahkan keluhan tersebut.
"Sebaliknya saya berazam untuk menempuh apa saja rintangan yang datang. Namun keazaman itu goyah seketika sebaik sahaja memasuki tahun kelima pengajian. Kesabaran saya diuji. Semakin hampir ke garisan penamat semakin kuat cabaran yang datang," imbas Siti Zabedah yang baru sahaja menerima anugerah Ijazah Doktor Falsafah Sebaran Am, pada Istiadat Konvokesyen ke-71, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
Kini pensyarah kanan jurusan kewartawanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media itu sudah mampu tersenyum. Pergelutan selama enam tahun melunaskan tesisnya membuahkan hasil.
Perjalanan
Namun dalam membiasakan diri dengan gelaran doktor falsafah, Siti Zabedah masih sukar melupakan keperitan yang dihadapi sepanjang proses pengajiannya.
Laporan tesis yang disusun rapi di atas rak buku sentiasa mengingatkan Siti Zabedah betapa payahnya untuk sampai ke tahap ini. Jelas bekas pelajar Sekolah Menengah Convent Muar, Johor itu proses pembelajaran peringkat Ph.D diibaratkan sebuah perjalanan persendirian. Segala-galanya perlu dilakukan sendiri tanpa bantuan teman mahupun orang sekeliling.
Dia menyifatkan ketika bergelar calon Ph.D, Siti Zabedah bagaikan berada di tengah-tengah antara peranan seorang pensyarah, keluarga, anak dan teman. Pada situasi tersebut semua aspek perlu diuruskan secara serentak tanpa membiarkan ada yang tercicir.
"Saya perlu bijak menguruskan masa. Setiap detik yang berlalu begitu berharga dan saya tidak pernah sia-siakan. Sebab itu selama tempoh pengajian, kehidupan saya bermula seawal pukul 4 pagi. Celik saja mata saya terus menuju ke komputer untuk menyiapkan laporan tesis. Idea-idea pada waktu pagi mencurah-curah memandangkan fikiran kita segar pada waktu itu.
"Tepat saja pada pukul 5.30 pagi saya menguruskan hal rumah tangga seperti mengemas rumah, membasuh baju dan paling utama memasak sarapan pagi dan hidangan tengah hari. Ini kerana selain suami dan anak-anak saya turut menjaga dan menguruskan kebajikan ibu yang sudah berusia dan uzur," jelas Siti Zabedah yang bergegas ke kuliah pada pukul 8 pagi dan tamat pukul 5 petang.
Seharian berada di kampus, Siti Zabedah yang pernah bertugas sebagai penyunting berita di Radio Televisyen Malaysia (RTM), selama 17 tahun seboleh-bolehnya menyiapkan segala keperluan kuliah. Bermula daripada bahan-bahan pengajaran, tugasan atau soalan kuiz, Siti Zabedah mahu sempurnakan segala-galanya secepat mungkin.
Penulisan akademik
Ini kerana waktu di rumah hanya diperuntukkan untuk keluarga dan sebahagian besar menyiapkan laporan tesisnya.
Dalam pada itu dia sentiasa berusaha mencuri masa ke perpustakaan mencari buku dan jurnal untuk dibuat rujukan. Sehinggakan pada hujung minggu Siti Zabedah perlu mengorbankan waktu santainya dengan mengunjungi stesen televisyen yang menjadi bahan kajian tesisnya.
"Tesis merupakan penulisan akademik. Ia tidak sama seperti penulisan rencana mahupun karangan. Setiap ayat yang ditulis perlu disokong dengan fakta dan contoh. Sebab itu setiap calon Ph.D sentiasa sibuk mencari bahan-bahan rujukan dan bukti bagi mendapatkan hasil tesis yang memberangsangkan," kata Siti Zabedah yang pernah berputus asa untuk meneruskan pengajian Ph.D.

Lebih-lebih lagi apabila keputusan itu diambil tatkala tempoh pengajian masuki tahun kelima. Ini kerana pada satu peringkat dia tidak dapat mengawal dan menguruskan banyak perkara secara serentak.

Enggan membiarkan diri merana kerana pengajiannya, Siti Zabedah tegar menghantar Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepada penasihatnya untuk tidak meneruskan pengajian. Malangnya niat itu langsung tidak mendapat simpati sebaliknya dia 'dimarahi' kerana tempoh pengajian bakal tamat dalam tempoh setahun saja lagi.
Usahanya meneruskan pengajian bagi menyahut cabaran KPT yang menyasarkan sekurang-kurangnya 60 peratus pensyarah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di seluruh negara memiliki Ph.D menjelang 2020.
Namun sebelum menamatkan bicara, Siti Zabedah sempat melahirkan rasa tidak puas hati kepada individu yang tidak bertanggungjawab membeli dan menghadiri konvokesyen di universiti luar negara tanpa menjalani proses pengajian sebenar.
"Ia tidak adil bagi kami yang bersusah payah dalam segala aspek. Sanggup mengorbankan masa dan tenaga semata-mata untuk memegang segulung Ph.D. Tetapi individu yang memiliki kelulusan palsu ini sangat rugi kerana tidak mempunyai kepakaran menghasilkan kajian dan tesis," katanya.

Sementara itu, graduan termuda Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang menerima Ph.D dalam Kejuruteraan Kimia, Sharifah Rafidah Wan Alwi, 28, dua tahun lalu turut melahirkan rasa kesal mengenai isu Ph.D palsu.
Pensyarah Kanan Bahagian Kejuruteraan Kimia, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor, itu berpendapat, ia adalah tindakan yang tidak patut dan mencemarkan gelaran doktor falsafah.

Mencemar gelaran
Situasi tersebut akan menjejaskan banyak pihak. Misalnya orang tersebut merupakan seorang pensyarah dan menyelia pelajar Ph.D, tapi disebabkan tidak pernah melalui proses Ph.D maka pelajar mereka mungkin kecundang dalam pelajaran.

"Justeru, perkara ini tidak boleh dipandang remeh bagi menjamin generasi masa depan yang cemerlang. Tindakan tegas berbentuk pencegahan perlu diambil untuk membasmi perbuatan ini dari akar umbi. Individu itu juga perlu disenarai hitam oleh majikan bagi memastikan mereka tidak mendapat pekerjaan di tempat lain," kata Sharifah yang pernah membuat kajian teknologi menjimatkan air secara holistik dalam industri dan domestik.
Lebih membanggakan, anak kedua daripada empat orang adik-beradik itu membuat kajian proses integrasi untuk menjimatkan haba. Kaedah baru itu membantu menyasar dan mereka bentuk rangkaian haba secara serentak melalui teknik grafik.
Menceritakan pengalaman pahit dan manis sepanjang pengajian Ph.D, peminat filem Pirate of the Carribean itu menjelaskan, pembentangan viva Ph.D merupakan peristiwa yang sukar dilupakan.

Ini kerana salah seorang penilai viva telah bertanyakan soalan secara bertubi-tubi tanpa memberi peluang kepadanya menjawab. Lebih mengecewakan penilai berkenaan kurang menyokong kaedah penyelesaian Sharifah.
Namun berkat sokongan dan doa keluarga, akhirnya Sharifah yang telah menerbitkan lebih daripada 40 jurnal berjaya meyakinkan penilai itu dan membuat pembetulan laporan tesis dalam tempoh dua minggu saja.

Tambah Sharifah, usia tidak seharusnya menjadi halangan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Ph.D. Sewaktu belajar di peringkat ijazah, Sharifah tidak sabar menamatkan pengajian dan menunggu panggilan temu duga untuk bekerja.
Namun disebabkan terlalu mencintai ilmu dia berasakan adalah lebih elok terus belajar walaupun sudah mendapat panggilan temu duga untuk bekerja.
Lantas dia melalui proses penukaran peringkat sarjana pada doktor falsafah pada semester kedua pengajiannya. Dalam masa dua tahun lapan bulan Sharifah sudah siap menamatkan tesis.

"Sebab itu saya memperoleh Ph.D awal. Melakukan proses pengajian Ph.D secara terus sama seperti membuat sarjana dan kemudian Ph.D. Cuma tempoh pengajian saya ini menjimatkan masa dan tekanan. Tak perlu melalui dua kali pengajian (sarjana dan Ph.D)," ulas Sharifah yang menerima ijazahnya daripada Pro-Canselor UTM, Raja Zarith Sofia Sultan Idris Shah.
Mengapa beliau mengambil keputusan melanjutkan pelajaran ke tahap Ph.D, sedangkan pada awalnya dia mengerti keperitan yang bakal dialami? Jawapan Siti Zabedah cukup ringkas. Dorongan itu berpunca daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Popular Posts