"Barang siapa memudahkan urusan (mukmin) yang sulit nescaya Allah akan memudahkan urusannya di dunia & akhirat" -Hadith Riwayat Imam Muslim-

Sunday 20 November 2011

Bayar cukai jika mahu gemuk


DENMARK muncul sebagai negara pertama yang mengenakan kutipan cukai lemak terhadap barangan berasaskan lelemak seperti minyak sapi, mentega, minyak masak dan produk susu. Tujuannya murni, memastikan kesihatan rakyat negara itu terjamin.

Cukai yang dilaksanakan bermula pada 2 Oktober lepas itu bertujuan menjadikan makanan berlemak tidak ekonomikal kepada 5.6 juta penduduk negara itu setelah 19 peratus dari jumlah penduduknya kini obes.

Kadar cukai yang dikenakan ialah 16 kroner (RM8.90) untuk setiap sekilogram lemak tepu dalam setiap produk yang mempunyai kandungan lemak melebihi 2.3 peratus.

Secara tidak langsung, cukai ini menyumbang kepada peningkatan harga setiap 250 gram mentega.

Pelaksanaan cukai tersebut bagi mengurangkan pengambilan makanan berasaskan lemak di kalangan penduduk negara itu.

Idea pengenalan cukai itu juga diikuti oleh negara-negara Eropah yang lain seperti Hungary.

Hungary dengan 9.9 juta penduduk, mengenakan cukai lemak 0.37 euro (RM1.58) ke atas makanan siap diproses yang mempunyai kandungan gula, garam serta karbohidrat melebihi sukatan ditetapkan.

Ini bertujuan untuk mengurang kadar obesiti di negara itu yang berada pada tahap 18.8 peratus.

Adakah cukai lemak relevan dilaksanakan di negara ini?

Menurut bekas Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican, cukai lemak yang dilaksanakan di Denmark dan Hungary belum tiba masanya untuk dikuatkuasakan di negara ini.

“Jika kita mengikuti langkah Denmark mengenakan cukai ke atas barangan mengandungi lemak, ia tidak mengubah keadaan sebaliknya akan mencetus kemarahan pengusaha industri makanan tempatan.

“Mereka (pengusaha) pasti akan meminta kerajaan mengemukakan bukti kukuh produk lemak ialah penyumbang utama masalah obesiti,” katanya ketika ditemui Jurnal baru-baru ini.

Katanya, langkah pelaksanaan cukai lemak dianggap tidak relevan, sekurang-kurangnya buat sekarang.

“Andai kata kerajaan menaikkan cukai dan hasilnya kadar obesiti berkurangan, itu boleh diterima dan bukan semata-mata ingin mengikuti jejak langkah Denmark dan Hungary.

“Cukai lemak di Denmark memang relevan kerana negara itu maju selangkah ke hadapan dan perlaksanaan undang-undang selain turut dipersetujui oleh rakyat negara itu sendiri,” katanya.


Ismail berpendapat, implikasi cukai lemak tidak akan berjaya di negara ini dan langkah terbaik yang perlu dibuat ialah peningkatan dari sudut pendidikan serta maklumat lanjut termasuk kempen-kempen berkaitan kesihatan secara efektif.

Namun, hakikatnya tanpa pelaksanaan cukai lemak tersebut penduduk negara ini sedang berhadapan dengan majoriti penduduk menghadapi masalah obesiti.

Baru-baru ini media melaporkan, Malaysia menduduki tempat pertama di kalangan negara-negara ASEAN dan kedudukan keenam di rantau Asia Pasifik yang berhadapan masalah obesiti penduduk.

Fakta itu didedahkan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin di Parlimen.

Jelas Ismail Merican, semasa menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, beliau sering menasihatkan pesakit dan kakitangan hospital kerajaan supaya mengamalkan pemakanan seimbang dan berkualiti tetapi hakikatnya kurang dua peratus kakitangannya mengikut nasihat tersebut.

“Saya gemar makan nasi lemak sehingga hari ini tetapi dalam kuantiti sedikit dengan tambahan sayur-sayuran.

“Tidak perlu nasi lemak itu ditambah dengan telur goreng, ayam goreng, sotong dan sebagainya,” katanya.

Katanya lagi, beliau juga gemar berjoging selain sering naik turun tangga sehingga berpeluh.

“Tetapi, para kakitangan saya dulu menggunakan perkhidmatan lif walaupun menuju ke tingkat pertama,” katanya.

Jelas beliau, obesiti kini menjadi suatu ancaman di peringkat global menyaksikan trend masalah obesiti kian meningkat setiap tahun bukan sahaja melibatkan golongan muda dan tua malah juga kanak-kanak.

Sepertiga daripada penduduk negara mengalami masalah berat berlebihan atau obesiti.

“Kita belum mencapai ke tahap di mana rakyat kita tahu sepenuhnya mengenai masalah obesiti.

“Rakyat kita tahu akan kebaikan amalan pemakanan sihat dan senaman namun hanya 15 peratus rakyat mengamalkannya manakala 75 peratus lagi tidak mempraktikkannya,” ujarnya.

Katanya, negara masih kekurangan kemudahan taman rekreasi yang lengkap dengan peralatan senaman dan trek joging.

Tambahnya, beberapa taman rekreasi yang mempunyai kemudahan itu tidak sempurna dan selamat untuk digunakan kanak-kanak.

“Ada ibu bapa memilih untuk mengunjungi pusat senaman atau gim untuk bersenam namun berapa ramai antara kita yang mampu membayar yuran perkhidmatan setiap bulan,” katanya.

Dibuang kerja

Realitinya di negara ini, terdapat ramai lelaki yang mempunyai berat badan melampau.

Tidak terkecuali Balaji Muniandy, 44. Dia pernah mencecah 280 kilogram (kg) sehingga menyebabkan tahap kesihatan lelaki berasal dari Farlim, Bandar Baru Air Itam, Georgetown, Pulau Pinang ini dalam keadaan amat teruk.

Semuanya disebabkan dia diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan sebuah syarikat swasta.

Akibat tekanan selepas dibuang kerja, Balaji bertindak mengurung diri dalam rumah.

“Saya tertekan selepas dibuang kerja dan terus mengurung diri tanpa berbual dengan sesiapa pun,” katanya.

Bagaimanapun, fizikal Balaji sedikit berubah selepas menerima rawatan dan kawalan pemakanan yang diselia sepasukan pegawai perubatan Hospital Pulau Pinang.

Diet makanan yang hanya berasaskan jus buah-buahan susu rendah lemak serta bijirin berjaya mengurangkan berat badan Balaji sebanyak 80 kilogram dalam tempoh setahun lalu.

“Saya berputus asa pada mulanya kerana tidak yakin untuk mengurangkan berat badan, tetapi hasil rawatan serta nasihat doktor, saya berjaya mengurangkan berat badan daripada 280 kg kepada 200 kg sahaja.

“Dulu saya tidak boleh berdiri dengan baik selain memerlukan bantuan emak, tetapi kini saya boleh berdiri sendiri dan boleh berjalan dengan bantuan tongkat,” katanya.

Kesihatan rakyat Kelantan terancam

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Data rasmi Panduan Industri Air Malaysia 2011 mengenai bekalan air bersih di seluruh negara mendapati Kelantan menduduki tempat paling bawah, sehingga dilabelkan sebagai negeri yang memiliki air kurang selamat dan berisiko.

Fakta ini sudah pasti mengejutkan kira-kira 1.54 juta penduduk Kelantan. Selama ini sebahagiannya terpaksa bergantung kepada air perigi dan sungai disebabkan kegagalan pembekalan air terawat oleh Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB).

Kementerian Kesihatan menerusi uji kaji berasingan bagi tempoh 2008-2010, juga mendapati air di negeri itu mengandungi arsenik, merkuri, mangan dan plumbum, iaitu logam-logam yang kesemuanya boleh memudaratkan kesihatan termasuk mengakibatkan kanser.

Bertitik tolak daripada data saintifik itu, Mingguan Malaysia baru-baru ini menjalankan penyiasatan hampir dua bulan di negeri tersebut bagi mencari jawapan kepada persoalan yang tercetus daripada isu berkenaan.

Di samping menemu ramah penduduk, menyelami dan menyaksikan sendiri kesengsaraan mereka mendapatkan bekalan air bersih, wartawan akhbar ini turut memperoleh laporan penyelidikan saintifik Kementerian Kesihatan.

Tidak cukup dengan itu, Mingguan Malaysia mengambil masing-masing 10 sampel daripada punca air paip, air perigi dan air telaga tiub dari setiap jajahan di Kelantan.

Sampel air itu kemudian dihantar untuk diuji kaji di sebuah makmal bertauliah yang memiliki pengiktirafan MS ISO/IEC 17025 di Selangor, bagi mengetahui sejauh mana kualiti air di negeri tersebut.

Ujian makmal itu, memfokus kepada kandungan beberapa logam berat antaranya merkuri; arsenik; kadmium; kromium; perak; zink; sodium; sianida; kuprum; dan magnesium.

Rumusan laporan sembilan muka surat makmal tersebut mengesahkan bahawa kualiti air yang digunakan penduduk dalam kehidupan seharian di Kelantan sangat rendah malah berisiko tinggi kepada kesihatan.

Ancaman paling besar kepada kesihatan penduduk Kelantan adalah penemuan logam arsenik, mangan serta besi yang kandungannya melebihi kadar dibenarkan oleh Standard Kualiti Air Minuman 2009, Kementerian Kesihatan.

Paling memeranjatkan, air terawat yang dibekalkan oleh AKSB ke rumah-rumah juga tercemar. Sampel dari Bachok didapati mengandungi logam arsenik dan besi, masing-masing 0.025mg/l dan 2.15 mg/l. Kadar selamat dan dibenarkan untuk arsenik ialah 0.01mg/l manakala besi, 0.3mg/l.

Selain terdedah kepada penyakit kanser, kehadiran arsenik dalam kuantiti berlebihan itu secara berpanjangan pula meningkatkan risiko kanser pada kulit, paru-paru, pundi kencing serta hati.

Tidak cukup dengan risiko berkenaan, pendedahan kepada kandungan besi secara berlebihan boleh mendatangkan penyakit hati serta serangan jantung kepada penduduk negeri Kelantan.

Namun, bekalan air AKSB ke daerah lain didapati berada di bawah paras selamat yang ditetapkan.

Dalam pada itu, bagi kandungan arsenik dalam air mentah, hanya Pasir Puteh dan Kota Bharu menepati piawaian pihak berkuasa. Machang mencatat pencemaran paling tinggi iaitu 0.072 hingga 0.083 mg/l.

Walaupun air mentahnya tidak mengandungi arsenik, namun Kota Bharu tidak bebas pencemaran logam mangan. Ia muncul daerah tertinggi tercemar iaitu sekitar 0.38 mg/l diikuti Tumpat (0.31 mg/l) dan Pasir Puteh (0.28 mg/l).

Mangan boleh menyebabkan gangguan saraf dikenali ‘manganism’ (menggeletar seperti pesakit parkinson) selain gejala psikiatri seumpama halusinasi.

Kandungan mangan dalam air mentah di Bachok, Gua Musang, Machang serta Kuala Krai menepati standard kualiti air minuman yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Sementara itu, bagi pencemaran logam besi, Pasir Mas mencatat kandungan tertinggi iaitu antara 0.03 hingga 4.89 mg/l, diikuti Bachok (2.15-4.07 mg/l) dan Pasir Puteh (0.49-1.03 mg/l).

Sampel-sampel air dari semua daerah juga secara ketara didapati mengandungi logam-logam lain yang boleh menjejaskan kesihatan seperti merkuri, sainida, kadmium, sodium dan zink.

Bagaimanapun, kandungannya berada di bawah paras yang dibenarkan.

Popular Posts