Terlalu cepat masa berlalu, Ramadhan semakin penghujung dan semakin mahu meninggalkan kita. Walaupun kita bersedih untuk berpisah dengannya, ia tetap akan pergi meninggalkan kita. Beruntunglah mereka yang boleh berjaya memanfaatkan Ramadhan siang dan malamnya. Rugilah mereka yang gagal memanfaatkannya dengan pelbagai alasan kerana tiada jamin kita boleh bertemu lagi Ramadhan akan datang.
Sijil Taqwa yang akan Allah berikan kepada umat Islam, tentu terhad. Yang pasti mereka yang tahu dan mahu memanfaatkan Ramadhan. Sijil Taqwa diberikan kepada mereka yang berjaya menempuh segala ujian sepanjang bulan Ramadhan. Sijil Taqwa sudah pasti tidak akan diberi kepada mereka yang terus mengekalkan dosa basah, dosa kering walaupun pada zahir mereka berpuasa. Dosa mengumpat, dosa fitnah, dosa menyebarkannya, dan dosa melaga-lagakan satu golongan dengan golongan lain.
Walau apapun kita tetap mahu merayakan Idulfitri, mahu bergembira dan bersuka ria. Kita sudah diharamkan berpuasa pada 1 Syawal. Jadi, kita perlu menyambut hari raya walaupun dalam keadaan biasa. Kita perlu beraya walaupun hakikatnya kita belum dianggap berjaya oleh Allah. Bertaubatlah dan berdoalah semoga kita terus dirahmatinya. Pada masa yang sama ucaplah tahniah kepada rakan yang lain dengan anggapan mereka berjaya. Nanti mereka juga akan lakukan terhadap anda. Semoga Allah terima.
Di kesempatan ini saya mengucapkan Salam Idulfitri, maaf zahir dan batin, semoga setiap tahun kita dalam keadaan kebaikan. Bagi yang akan balik ke kampung, berhati-hati di jalan raya dan semasa beraya. Kunjungi sanak saudara rakan taulan.