KUALA LUMPUR 10 Okt. - Tahap pencapaian para
pelajar tingkatan tiga akan diukur melalui penilaian Sistem Pentaksiran
Berasaskan Sekolah (SBA) apabila Penilaian Menengah Rendah (PMR)
dimansuhkan pada 2014.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, SBA itu
akan dikendalikan oleh sekolah tetapi masih di bawah pengawasan dan
pemantauan Lembaga Peperiksaan untuk memastikan soalan yang disediakan
berkualiti, setara dan mampu mengukur prestasi para pelajar.
"Langkah dan pendekatan ini membolehkan ibu bapa mendapat maklumat
terkini mengenai prestasi penguasaan pelajaran anak-anak mereka,"
katanya ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan perjalanan
peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Sekolah Menengah
Kebangsaan (SMK) Gombak Setia di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran meluangkan masa kira-kira setengah
jam untuk melihat seramai 599 pelajar sekolah itu menduduki peperiksaan
tersebut yang bermula semalam.
Pada tahun ini, seramai 480,306 pelajar menduduki peperiksaan itu di 3,720 buah sekolah di seluruh negara,.
Muhyiddin berkata, selepas tahun 2014, hanya ada dua peperiksaan
utama yang dijalankan iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Murid-murid dari Tahap Satu hingga Tahap 5, prestasinya diukur
melalui SBA. Begitu juga di peringkat menengah sepanjang tahun
pembelajaran yang tidak ada peperiksaan utama, prestasi pelajar diukur
berasaskan kepada sistem tersebut," tambah beliau.
Mengulas mengenai pengambilan pelajar asrama di tingkatan empat
selepas pemansuhan PMR, Muhyiddin berkata, proses kemasukan itu tetap
diteruskan seperti biasa.
Katanya, proses pengambilan kemasukan pelajar di sekolah-sekolah
berasrama penuh dan Maktab Rendah Sains Mara akan dibuat berdasarkan
kecemerlangan dan latar belakang pelajar.
"Pelajar yang cemerlang dan latar belakang ibu bapa yang miskin akan
diberi keutamaan untuk mendapat tempat di sekolah berasrama penuh dan
amalan ini telah dimulakan sejak tahun lepas," katanya.