"Barang siapa memudahkan urusan (mukmin) yang sulit nescaya Allah akan memudahkan urusannya di dunia & akhirat" -Hadith Riwayat Imam Muslim-

Wednesday, 23 February 2011

Rexy mahu Kien Keat-Boon Heong kekal momentum

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Jurulatih beregu negara Rexy Mainaky yang gusar dengan prestasi semasa pasangan jaguh beregu negara, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong mahu mereka meningkatkan prestasi bagi menghadapi kejohanan All England bulan depan.

Kekalahan pasangan tersebut seawal pusingan pertama di Terbuka Malaysia bulan lalu sedikit membimbangkannya.

Namun mereka kemudiannya melangkah ke separuh akhir Terbuka Korea awal bulan ini.

"Mungkin kerana pada masa Terbuka Malaysia, mereka baru selesai cuti panjang (cuti Krismas dan Tahun Baru). Jadi mental mereka masih kurang bersedia. Ternyata mereka bermain lebih baik dan lebih fokus pada Terbuka Korea.

"Jadi dengan kemajuan itu dan training yang cukup, harap mereka akan bermain lebih baik pada All England nanti,” katanya. - Bernama

Monday, 21 February 2011

VIDEO TRAGEDI AZIZULHASNI AWANG




MANCHESTER, England - "Tidak... tidak...tidak... saya tidak akan patah semangat." Demikian tegas pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang yang kini terlantar di Hospital Diraja Manchester di sini, selepas selamat menjalani pembedahan mengeluarkan serpihan kayu daripada kakinya.

Menurut pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu, meskipun sedih dengan kemalangan tersebut ia tidak akan mematah semangatnya, apatah lagi mengalah dan berundur daripada sukan tersebut.

"Saya mahu cepat sembuh dan kembali berlatih," katanya dalam pertemuan dengan wartawan Malaysia di sini, semalam.

Menurut pelumba yang mendapat jolokan The Pocket Rocketman itu, kemalangan kelmarin merupakan yang terburuk dalam sejarah kariernya sebagai pelumba basikal negara.

"Semuanya berlaku dengan pantas tetapi apa yang berlaku adalah risiko yang perlu ditanggung pelumba. Saya bersyukur kecederaan tidak serius," ujarnya.

Menurut Azizulhasni, selepas menjalani pembedahan selama hampir satu jam bagi mengeluarkan kayu yang menembusi betisnya, doktor memaklumkan kayu tersebut tidak mengena bahagian utama badan seperti saraf tulang.

"Sebenarnya saya hendak cabut apabila melihat kayu di betis. Pada mulanya saya tidak terasa apa-apa tetapi selepas seketika saya terasa pitam sebelum rebah di trek selepas menamatkan perlumbaan tersebut," katanya.

Utusan Malaysia difahamkan ketika kemalangan berlaku Azizulhasni berada pada kedudukan baik untuk memotong pelumba Scotland, Chris Hoy yang memenangi perlumbaan akhir keirin Piala Dunia Klasik, kelmarin.

Azizulhasni menambah, beliau yakin kemalangan tersebut ada hikmahnya dan tidak akan menjejaskan peluang bertanding di Sukan Olimpik 2012.

"Sekarang kedudukan dalam ranking pun masih selamat dan saya harap dapat balik cepat untuk menjalani latihan," ujarnya.

Perbualan yang turut dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong serta Naib Presiden Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad bertukar sebak apabila Azizulhasni seketika sempat berbicara buat pertama kali bersama ibu dan isteri selepas kemalangan tersebut.

Dalam pada itu, Shabery berkata, doktor memaklumkan kecederaan yang menimpa Azizulhasni merupakan kecederaan biasa.

"Mengikut perkiraan pakar dia mungkin boleh kembali berlatih dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi," katanya.

Beliau menambah, kerajaan sedia menghantar Azizulhasni menjalani lawatan ke luar negara jika perlu kerana dia merupakan prospek utama untuk meraih pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik 2012.

Dalam usia 23 tahun berbanding Hoy 33 tahun, Azizulhasni masih berada pada ranking pertama UCI.

Biarpun sekadar memenangi gangsa pada perlumbaan kelmarin, ia sudah memadai untuk membawa Azizulhasni mempertahankan kejuaraan keseluruhan Piala Dunia Klasik buat kali ketiga. - Utusan

Friday, 4 February 2011

Popular Posts