"Barang siapa memudahkan urusan (mukmin) yang sulit nescaya Allah akan memudahkan urusannya di dunia & akhirat" -Hadith Riwayat Imam Muslim-

Monday, 9 May 2011

LEE CHONG WEI MENANG LAGI

PEMAIN No. 1 Dunia, Datuk Lee Chong Wei merangkul kejuaraan kelima tahun ini selepas menang 21-9, 21-19 ke atas pemain China, Bao Chunlai pada final Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Terbuka Malaysia semalam.

Pada aksi di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar itu, pasangan beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Leong turut menamatkan kemarau 16 bulan apabila merangkul kejuaraan sulung.

Namun, beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang memburu kejuaraan sulung tahun ini sekadar berpuas hati selaku naib juara pada kejohanan yang menawarkan hadiah RM360,000 itu.

Chong Wei yang juga juara Seluruh England itu mengambil masa 42 minit untuk menewaskan Chunlai yang juga pemain pilihan ketujuh.

Sejak awal tahun ini, pemain kelahiran Pulau Pinang itu mengungguli empat kejuaraan daripada semua lima kejohanan yang disertai iaitu Siri Super Masters Akhir, Terbuka Malaysia, Seluruh England dan Terbuka India serta muncul naib juara Terbuka Korea.

Chong Wei yang ditemui memberitahu, ketika ketinggalan mata pada set kedua dia bermain berhati-hati bagi mengurangkan kesilapan dan akhirnya berjaya mencapai mata kemenangan.

Katanya, menerusi kejayaan ini dia berharap dapat mengekalkan konsentrasi dan fokus pada perlawanan dalam perjalanan menuju ke Olimpik London 2012.

“Saingan saya ketika ini ialah Lin Dan, namun saya tidak boleh memandang mudah pemain lain yang semakin meningkat naik,” katanya.

Berkenan berangkat Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Sultanah Kedah, Tuanku Haminah Hamidun.

Sementara itu, kali terakhir Kien Keat-Boon Leong merangkul kejuaraan ialah di Terbuka Malaysia pada Januari 2010.

Pasangan itu mengenepikan cabaran Alvent Yulianto Chandra-Hendra Aprida Gunawan yang merupakan pilihan keempat kejohanan dari Indonesia 21-16, 21-7.

Dalam pada itu, Peng Soon-Liu Ying yang diharapkan untuk mengulangi dua kejutan sebelum ini terpaksa akur dengan kehebatan pasangan dari Indonesia yang juga merupakan pilihan keempat perlawanan, Tantowi Ahmad-Liliyana Natsir 21-18, 15-21, 21-19 dalam tempoh 57 minit perlawanan.

Pada pertemuan separuh akhir kelmarin Peng Soon-Liu Ying yang merupakan juara Asia 2010 menundukkan Fran Kurniawan-Pia Zebadiah Bernadeth dari Indonesia yang merupakan pilihan ketiga kejohanan 21-14, 21-10.

Peng Soon-Liu Ying yang ditemui mengakui melakukan beberapa kesilapan dalam permainan sehingga menimbulkan rasa gugup yang memudahkan lawan untuk mengawal permainan.

Popular Posts

There was an error in this gadget