"Barang siapa memudahkan urusan (mukmin) yang sulit nescaya Allah akan memudahkan urusannya di dunia & akhirat" -Hadith Riwayat Imam Muslim-

Friday, 26 August 2011

Pendidikan Islam dimantapkan

MUAR 25 Ogos – Kementerian Pelajaran akan memperkenalkan kurikulum baru Pendidikan Islam dengan menerapkan Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF) dalam subjek tersebut, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran memberitahu, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas dengan Bahagian Pendidikan Islam bagi memantapkan lagi mata pelajaran berkenaan.

“Ini adalah perkara yang akan kita laksanakan tidak lama lagi kerana dikatakan kita masih kurang guru j-QAF di seluruh negara, sedangkan kita memiliki ramai guru Pendidikan Islam dan guru itu layak untuk mengajar anak-anak kita dalam soal berkaitan jawi, agama Islam dan al-Quran menerusi j-QAF,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Tahlil dan Berbuka Puasa di Surau Sa‘adiah Hj. Mohd. Yassin di Jalan Bakri di sini hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Pengerusi UDA Holdings Berhad, Datuk Nur Jazlan Mohamed, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Tahir Taat serta ADUN Jorak, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh.

Pada majlis tersebut, Muhyiddin menerima zakat daripada UDA Holdings sebanyak RM150,000 untuk Yayasan Nurul Yaqeen serta RM20,000 lagi untuk Surau Sa‘diah.

Pada majlis itu, UDA Holdings turut meraikan 200 golongan kurang berkemampuan yang terdiri daripada fakir miskin.

Menurut Muhyiddin, tumpuan kerajaan adalah memastikan bidang pelajaran yang turut merangkumi pendidikan agama Islam dapat diperluaskan.

“Pendidikan adalah suatu yang sejagat dan tiada perbezaan antara miskin atau kaya. Dalam sistem pendidikan kita, sekolah adalah untuk semua, kita tentukan mereka mesti ke sekolah, tiada yang tertinggal, tiada yang terkecuali,” katanya.

Sehubungan itu, kata Muhyiddin, kementeriannya akan memantapkan lagi pendidikan di peringkat prasekolah agar semua kanak-kanak berpeluang mengikuti pendidikan pada usia muda dan kerajaan juga bersedia mengeluarkan peruntukan agar lebih banyak prasekolah dapat dibuka.

“Selain memberi modal RM10,000 untuk membuka prasekolah, hari ini saya buat keputusan, mana-mana pihak yang hendak memperluaskan lagi prasekolah yang sedia ada, kita boleh menambah peruntukan, tapi pokoknya kena tambah bilangan pelajar.

“Hari ini, lebih setengah juta anak-anak kita sudah pun melalui pendidikan prasekolah tapi ada beberapa ratus ribu lagi yang tidak dapat kerana tiada kemudahan dan mereka ini di kawasan pedalaman, pinggir bandar, rumah pangsa dan rumah setinggan,” katanya.

Oleh KAMIL MASLIH
utusanjohor@utusan.com.y
26 Ogos 2011


Popular Posts

There was an error in this gadget