"Barang siapa memudahkan urusan (mukmin) yang sulit nescaya Allah akan memudahkan urusannya di dunia & akhirat" -Hadith Riwayat Imam Muslim-

Monday, 12 December 2011

FENOMENA GERHANA BULAN 11.12.2011




KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Masyarakat di negara ini berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh yang akan bermula dari pukul 7.34 malam esok sehingga 1.30 pagi Ahad.

Pegawai penyelidik Agensi Angkasa Negara Redzuan Tahar berkata gerhana dapat dilihat dengan mata kasar mulai 8.46 malam, manakala fasa umbra bermula dari 10.06 malam dan akan berlanjutan kira-kira 51 minit.

"Pencerap di Malaysia akan dapat melihat keseluruhan gerhana dan juga ketika bulan di fasa titik gelap pada 10.32 malam sekiranya tiada perubahan cuaca," katanya ketika dihubungi Bernama.

Redzuan berkata orang ramai boleh datang ke Planetarium Negara bagi menyaksikan fenomena itu selain mengikuti perkembangan semasa fenomena gerhana bulan penuh kali ini melalui laman sosial Facebook, 'Lunar Malaysia Eclipse'.

Mereka yang ingin maklumat lanjut boleh hubungi Planetarium Negara di talian 0322734301/4303/5484 atau layari laman web www.angkasa.gov.my/planetarium.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Datuk Othman Mustapha berkata umat Islam digalak menunaikan solat sunat Khusuf atau solat sunat gerhana bulan sempena fenomena tersebut.

Beliau turut meminta masjid dan surau di seluruh negara agar melakukan solat sunat khusuf secara berjemaah esok disertai khutbah gerhana bagi meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

"Ibadat sunat ini seharusnya ditunaikan dengan sebaik mungkin, apatah lagi fenomena gerhana ini jarang-jarang berlaku di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata masjid utama seperti Masjid Negara dan Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di ibu negara serta Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra di Putrajaya akan menganjurkan solat sunat gerhana pada 9 malam selepas solat Isyak.

Selain itu aktiviti cerapan juga akan diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, katanya.

-- BERNAMA

Popular Posts