"Barang siapa memudahkan urusan (mukmin) yang sulit nescaya Allah akan memudahkan urusannya di dunia & akhirat" -Hadith Riwayat Imam Muslim-

Monday, 2 January 2012

Pengasas Apple inspirasi Lin Dan


BEIJING - Bintang badminton China, Lin Dan semalam mendedahkan, pengasas Apple Inc., Steve Jobs adalah orang yang memberi inspirasi kepadanya untuk berjaya.

Lin Dan mendedahkan, dunianya terus berubah selepas membaca biografi lampau Jobs, di mana dia memasang azam yang kuat untuk mengejar mimpi.

Juara Olimpik dan dunia itu turut menambah, dia mahu menjadi seorang individu yang sangat berpengaruh dalam sukan badminton menerusi permainan dan karisma yang ada pada dirinya.

"Walaupun dia (Jobs) tiada kaitan dengan sukan, namun saya sangat berinspirasi selepas membaca biografinya. Kami selalu memikirkan bagaimana hendak mempromosikan badminton dengan lebih jauh menerusi pengaruh kami dan bagaimana hendak menarik orang ramai meminati bulu tangkis,'' kata Lin Dan dalam satu temu bual dengan stesen TV China, baru-baru ini.

Bekas pemain No. 1 dunia itu berkata, dia membaca buku tersebut ketika sedang bersantai dan tidak mempunyai latihan atau pertandingan.

Biarpun masih gagal merampas takhta No. 1 dunia daripada bintang Malaysia, Datuk Lee Chong Wei, Lin Dan mengharungi karier yang menakjubkan, termasuk merangkul kejuaraan dunia buat kali keempat di Arena Wembley, Ogos lalu, iaitu venue yang bakal menjadi tuan rumah Sukan Olimpik London 2012.

Dia turut melengkapkan gelaran "Grand Slam" dengan menumpaskan rakan senegara, Chen Long untuk merangkul kejuaraan Siri Super Masters Akhir di Li Zhou, China pada 18 Disember lalu.

Bagaimanapun di mata Lin Dan, bintang tenis China, Li Na yang muncul pemain pertama negaranya merangkul kejuaraan tenis Grand Slam dengan memenangi Terbuka Perancis, lebih layak ditabal sebagai bintang sukan terbaik China sepanjang 2011 kerana menunjukkan prestasi yang luar biasa.

Kejuaraan yang diraihnya berbeza dengan kemenangan kami pada Sukan Olimpik, dia telah merubah nilai sukan China di mata dunia. Saya harap, lebih ramai orang China akan melakukan apa yang telah dilakukan,'' katanya.

Lin Dan turut mendedahkan, dia terkejut dengan keputusan rakan senegara, Bao Chunlai untuk bersara secara tiba-tiba, bagaimanapun dia memahami mengapa pemain itu membuat keputusan tersebut.

Bercakap mengenai perancangannya pada 2012, Lin Dan menegaskan, fokusnya cuma satu, Sukan Olimpik London.

"Selain itu, saya juga merancang masa depan saya. Saya harap dapat mempromosikan badminton dalam cara yang baik tetapi sekarang, saya tahu peminat saya hanya mahu saya terus bermain dan mencari kejayaan,'' katanya lagi. - AGENSI

Popular Posts

There was an error in this gadget