"Barang siapa memudahkan urusan (mukmin) yang sulit nescaya Allah akan memudahkan urusannya di dunia & akhirat" -Hadith Riwayat Imam Muslim-

Thursday 24 April 2014

Jadikan mata pelajaran wajib lulus

KUALA LUMPUR 23 April - Kerajaan disaran supaya mengiktiraf mata pelajaran Pendidikan Islam sebagai mata pelajaran wajib lulus di semua peringkat peperiksaan khususnya murid yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Saranan tersebut disuarakan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Dr. Johari Mat yang melihat mata pelajaran Pendidikan Islam masih di takuk lama terutama dari segi pengiktirafan berbanding mata pelajaran lain.
Hal demikian menurutnya, membuatkan murid serta pelajar sekolah termasuk ibu bapa tidak memberikan perhatian atau penekanan kepada kepentingan Pendidikan Islam berbanding mata pelajaran lain.
“Mereka ini akan memberi perhatian kepada mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan mata pelajaran wajib lulus lain. Tetapi, Pendidikan Islam tidak ada apa-apa nilai dalam kelulusan bagi sesuatu peperiksaan. Dalam UPSR pun tidak dimasukkan.
“Kita ajar anak-anak kita dalam kelas (mata pelajaran Pendidikan Islam), dan kalau tiada penekanan (wajib lulus), maka di sinilah mereka tak akan beri perhatian dan ibu bapa juga. Tak seperti Matematik, ibu bapa sanggup (beri perhatian) hantar anak-anak ke tuisyen (kerana status wajib lulus)," katanya ketika membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara hari ini.
Johari memberitahu, begitu juga kepada murid-murid atau pelajar bukan beragama Islam, penekanan juga perlu diberikan kepada mata pelajaran Pendidikan Moral.
“Saya nak lihat anak-anak kita mempunyai akhlak yang tinggi dan moral yang baik selain berbudi bahasa. Perkara ini perlu diberikan penekanan sewajarnya," jelas beliau.
Sementara itu, saranan serta penekanan Ahli Dewan Negara dari Kelantan itu turut mendapat sokongan ahli-ahli dewan lain iaitu Senator Ahamat @ Ahamad Yusop, Senator Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman dan Senator Baharuddin Abu Bakar.
Mencelah sesi perbahasan Johari, Ahamat antara lain mencadangkan pendidikan Islam itu diperkasakan menerusi sistem sekolah agama pada sesi petang seperti dipraktikkan di Johor.
Begitu juga sokongan yang di­nyatakan Baharuddin yang melihat mata pelajaran Pendidikan Islam itu perlu diiktiraf sebagai wajib lulus, sesuai dengan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan.
“Mata pelajaran Sejarah pun sudah menjadi wajib lulus. Oleh itu, bertepatan dengan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, saya rasa kerajaan perlu mengkaji dan kalau boleh menjadikan Pendidikan Islam sebagai wajib lulus.
“Selain itu, bagi yang bukan beragama Islam, kerajaan perlu mengkaji kaedah-kaedah dalam konteks mata pelajaran lain," tambahnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20140424/pa_01/Jadikan-mata-pelajaran-wajib-lulus#ixzz2zmoY7zbI
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Popular Posts