"Barang siapa memudahkan urusan (mukmin) yang sulit nescaya Allah akan memudahkan urusannya di dunia & akhirat" -Hadith Riwayat Imam Muslim-

Sunday, 15 June 2014

Kesatuan guru anggap masalah disiplin pelajar serius

KANGAR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) mentakrif masalah disiplin pelajar kini mencapai tahap serius dan mahu Kementerian Pelajaran menubuhkan pasukan petugas untuk menanganinya.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng turut menggesa Kementerian Pelajaran mengumumkan keputusan peraturan baharu yang memberi lebih kuasa kepada sekolah untuk mengawal disiplin pelajar, yang dibincangkan sejak empat tahun lepas. 
Beliau berkata penubuhan pasukan petugas itu tidak boleh dilengahkan lagi memandangkan disiplin pelajar semakin meruncing sehingga tidak terkawal akibat pengaruh pelbagai unsur tidak sihat khususnya Internet.

"KPPK bukan sekadar prihatin malah bimbang dengan perkembangan tidak sihat ini dan sebab itu mahu berkongsi dengan pihak-pihak berkepentingan agar tindakan berkesan dapat dilaksanakan dalam mengawal disiplin pelajar.

"Budaya buli sama ada buli melalui siber atau buli fizikal tidak boleh dipandang ringan kerana ia merosakkan pelajar," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat KPPK cawangan Perlis di sini hari ini.

Lok yang juga Setiausaha agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berkata pelajar nakal merupakan perkara biasa tetapi apabila berlaku kejadian buli atau pergaduhan berkumpulan dan satu kumpulan memukul seorang pelajar ia merupakan kes serius.

"Masalah disiplin dicetuskan oleh banyak pelajar yang banyak menghabiskan masa melayari Internet, mengakses bahan tidak bertapis seperti lucah dan main permainan video. Masalah ini lebih berat apabila guru terbabit sama menghabiskan masa bersembang di Internet.
"Perkembangan ini mulai menjadi budaya dan akhirnya pelajar yang dihasilkan tidak berkualiti serta tidak mahir untuk menjadi warganegara cemerlang," katanya.

Beliau berkata selain sikap ibu bapa yang membawa kepada punca disiplin pelajar tidak terkawal, ia juga disebabkan guru tidak diberi hak untuk merotan pelajar untuk mendisiplinkan mereka.

Katanya antara sebab KPPK ingin berkongsi perkembangan ini dengan badan-badan bukan kerajaan seperti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ialah supaya mereka serius untuk terlibat membantu membaiki disiplin pelajar.

KPPK akan terus mendesak Kementerian Pelajaran untuk melantik seorang guru sebagai ketua guru disiplin yang diberi kuasa dan tanggungjawab untuk mengambil tindakan khususnya terhadap pelajar samseng.

Dalam perkembangan semasa, Lok turut mengingati guru supaya tidak lalai melaksanakan tanggungjawab dalam keghairahan menonton kejohanan bola sepak Piala Dunia.

"Saya harap guru-guru tidak terbabit dengan perjudian bola sepak dan pastikan masa tidur mencukupi apabila sesi persekolahan bermula Ahad atau Isnin ini," katanya. - BERNAMA 

Berita harian 2014/06/14
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Kesatuanguruanggapmasalahdisiplinpelajarserius/Article/?mutakhir=1

Popular Posts

There was an error in this gadget