
PUTRAJAYA 10 Jan. - Sistem Pendidikan negara memerlukan penambahbaikan berterusan bagi memastikan mutu pendidikan Malaysia setanding dengan negara-negara maju, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, kajian semula sistem pendidikan secara menyeluruh sedang dijalankan untuk memahami garis dasar pencapaian dan membangunkan fakta asas berdasarkan cabaran sistem sekolah di negara ini dengan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan standard dan merapatkan jurang pencapaian.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, bagi fasa pertama, penilaian sistem dilaksanakan dengan menubuhkan Panel Penilai Bebas tempatan dan antarabangsa bertujuan memberi input dan panduan dalam penilaian tersebut.
"Panel yang dilantik membantu proses penilaian dengan menyediakan khidmat kepakaran dan nasihat serta mendapatkan pelbagai pandangan dan perspektif yang luas mengenai sistem pendidikan negara.
"Dalam menyokong penilaian ini, bantuan kepakaran juga diperolehi daripada UNESCO melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman Kajian Semua Dasar Pendidikan Malaysia yang ditandatangani pada 18 Disember 2011,” katanya ketika menyampaikan perutusan khas kepada warga Kementerian Pelajaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini. - BERNAMA
BEIJING - Bintang badminton China, Lin Dan semalam mendedahkan, pengasas Apple Inc., Steve Jobs adalah orang yang memberi inspirasi kepadanya untuk berjaya.
Lin Dan mendedahkan, dunianya terus berubah selepas membaca biografi lampau Jobs, di mana dia memasang azam yang kuat untuk mengejar mimpi.
Juara Olimpik dan dunia itu turut menambah, dia mahu menjadi seorang individu yang sangat berpengaruh dalam sukan badminton menerusi permainan dan karisma yang ada pada dirinya.
"Walaupun dia (Jobs) tiada kaitan dengan sukan, namun saya sangat berinspirasi selepas membaca biografinya. Kami selalu memikirkan bagaimana hendak mempromosikan badminton dengan lebih jauh menerusi pengaruh kami dan bagaimana hendak menarik orang ramai meminati bulu tangkis,'' kata Lin Dan dalam satu temu bual dengan stesen TV China, baru-baru ini.
Bekas pemain No. 1 dunia itu berkata, dia membaca buku tersebut ketika sedang bersantai dan tidak mempunyai latihan atau pertandingan.
Biarpun masih gagal merampas takhta No. 1 dunia daripada bintang Malaysia, Datuk Lee Chong Wei, Lin Dan mengharungi karier yang menakjubkan, termasuk merangkul kejuaraan dunia buat kali keempat di Arena Wembley, Ogos lalu, iaitu venue yang bakal menjadi tuan rumah Sukan Olimpik London 2012.
Dia turut melengkapkan gelaran "Grand Slam" dengan menumpaskan rakan senegara, Chen Long untuk merangkul kejuaraan Siri Super Masters Akhir di Li Zhou, China pada 18 Disember lalu.
Bagaimanapun di mata Lin Dan, bintang tenis China, Li Na yang muncul pemain pertama negaranya merangkul kejuaraan tenis Grand Slam dengan memenangi Terbuka Perancis, lebih layak ditabal sebagai bintang sukan terbaik China sepanjang 2011 kerana menunjukkan prestasi yang luar biasa.
Kejuaraan yang diraihnya berbeza dengan kemenangan kami pada Sukan Olimpik, dia telah merubah nilai sukan China di mata dunia. Saya harap, lebih ramai orang China akan melakukan apa yang telah dilakukan,'' katanya.
Lin Dan turut mendedahkan, dia terkejut dengan keputusan rakan senegara, Bao Chunlai untuk bersara secara tiba-tiba, bagaimanapun dia memahami mengapa pemain itu membuat keputusan tersebut.
Bercakap mengenai perancangannya pada 2012, Lin Dan menegaskan, fokusnya cuma satu, Sukan Olimpik London.
KANGAR 29 Dis. - Jurnal terbitan penyelidik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) merangkul anugerah Computer Simulation Technology (CST) University Publication Award 2011 baru-baru ini yang meletakkannya sebagai salah sebuah daripada empat artikel terbaik di dunia dalam bidang elektromagnetik.
Artikel bertajuk Setup and Results of Pyramidal Microwave Absorbers Using Rice Husks diterbitkan dalam jurnal 'Progress in Electromagnetic Research' (PIER) pada Disember 2010 itu adalah hasil projek yang dilaksanakan oleh Nornikman Hassan.
Ia diselia oleh Dr. Mohd Fareq Abd. Malek (penyelia utama) manakala Soh Ping Jack dan Azremi Abdullah Al-Hadi bertindak sebagai penyelia bersama.
Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata, kejayaan tersebut meningkatkan kredibiliti UniMAP di peringkat antarabangsa.
"Kejayaan ini tambah bermakna memandangkan UniMAP merupakan penerima anugerah tersebut yang pertama di kalangan IPT (institusi pengajian tinggi) di Asia Tenggara dan artikel berkenaan akan direkodkan sebagai rujukan di laman web CST," katanya di sini.
Selain itu, kata beliau, UniMAP akan menerima dua lesen penuh perisian CST percuma selama setahun.
"Hanya empat jurnal dipilih untuk menerima pengiktirafan ini dan UniMAP bangga menjadi salah sebuah dari empat penulisan jurnal terbaik dunia.
"Ternyata usaha UniMAP menggalakkan penulisan jurnal di kalangan kakitangan akademik membuahkan kejayaan yang membanggakan," ujar beliau.
Tiga lagi universiti yang menerima pengiktirafan tersebut bagi tahun ini adalah dari Perancis, Amerika Syarikat dan Ireland.
Pemilihan dibuat berdasarkan impak kandungan saintifik terhadap komuniti penyelidikan elektromagnetik.
Anugerah CST dimulakan sejak 2003 dengan tiga atau empat artikel terbaik di seluruh dunia dalam elektromagnetik akan dikenal pasti untuk menerimanya pada setiap tahun.
Pemilihan dan anugerah dibuat oleh syarikat pembangun perisian elektromagnetik CST yang juga pemilik perisian CST Microwave Studio untuk mengiktiraf kepentingan sumbangan pihak universiti menerusi usaha-usaha penerbitan artikel saintifik berimpak serta menggalakkan penggunaan perisian simulasi secara optimum.
Sementara itu, Pengarah Pemasaran CST, Dr. Martin Timm berkata, selepas lapan tahun penganjuran, penyertaan yang diterima untuk anugerah berkenaan begitu menggalakkan dan pihaknya menghadapi kesukaran untuk memilih pemenang memandangkan kualiti jurnal yang dipertandingkan semakin meningkat.
"Bagaimanapun, setelah beberapa siri pemilihan, empat jurnal ini dinilai sebagai yang terbaik," ujarnya.






Mana-mana kakitangan kerajaan yang dinilai tidak mampu menjalankan tugas secara fizikal dan mental, akan disarankan supaya berhenti. Manakala kepada kakitangan kerajaan yang cemerlang tetapi disebabkan tiada promotion jawatan dalam organisasi tersebut, anda dinasihatkan supaya bersara dengan berbekalkan PERKS yang lumayan.
Walaubagaimanapun, kepada sesiapa yang berada dalam pengurusan premier dijangka agak kurang selamat. Pencapaian mereka ini akan diukur berdasarkan outcome & kesan, bukan lagi output seperti yang sebelumnya.
Kakitangan sektor kerajaan yang gagal memperlihatkan atau mencapai prestasi perkhidmatan disasarkan selama tiga tahun berturut-turut akan ditamatkan kerja di bawah Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA Gaji Baru 2012), yang bakal dikuatkuasakan mulai 1 Januari ini 2012
Peruntukkan bagi Skim Gaji SBPA 2012 baru ini terpakai ke atas keseluruhan 1.3 juta tenaga kerja sektor awam, tidak kira peringkat dan kumpulan perkhidmatan.
Akan wujud pelbagai lapisan gred seperti berikut (secara kasar) :
- Premier
- Jusa
- Pengurusan Tinggi
- Pengurusan dan Profesional
- Pelaksana
Kalau diikutkan gred Premier dan Pelaksana adalah merupakan gred baru yg diwujudkan bagi mewujudkan kategori penjawat awam yang telah digred semula mengikut keperluan organisasi.
Maksudnya kalau ambil gred bawah sekali iaitu Pelaksana, seseorang yang sekarang ini hanya bertugas sebagai pemandu, kenalah ada multiskill, mampu buat kerja tambahan yang lain seperti jadi tukang bancuh kopi, tukang photostat, tukang taip, tukang angkat telepon dan lain-lain lepas ini.
Bagi sistem gaji SBPA yang baru ini, markah penilaian akan menentukan kenaikan gaji penjawat awam. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah menetapkan empat kategori markah penilaian perkhidmatan iaitu :
- Markah 95% keatas – kenaikan gaji adalah 15 %
- Markah 85%-95% – kenaikan gaji adalah 8%
- Markah 75 % – tiada kenaikan
- Markah 70 % – disyorkan tamat perkhidmatan
Mengikut formula yang digunakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) selepas menjalankan kajian, secara kasarnya, gaji penjawat awam bermula daripada jawatan KSN adalah seperti berikut :
- Ketua Setiausaha Negara – RM50,ooo
- Premier – RM40,000
- Jusa C – RM12,000
- Pengurusan & Profesional – RM6,000
- Pelaksana – RM3,000
Skim gaji baru 2012 SBPA ini bakal menyediakan sistem gaji satu lapis berbanding tiga lapis yang digunakan sekarang.
sumber : http://beritasemasa.com/gaji-sbpa-2012-pekeliling-baru
KUALA LUMPUR - Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Prudential BSN Takaful Bhd. (PruBSN) melancarkan Giro Takaful Hajj khusus untuk menyediakan perlindungan dan tabungan bagi jemaah haji dan umrah pada masa hadapan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, Azim Mithani, menerusi pelan takaful itu, pemegang akaun yang berusia di antara 19 hingga 60 tahun bakal menikmati pelbagai manfaat menerusi ciri uniknya seperti elaun haji melalui bonus loyalti, Haji Badal dan manfaat takaful berganda.
"Haji Badal akan membolehkan para pemegang akaun yang meninggal dunia atau hilang upaya kekal dan menyeluruh yang tidak berpeluang menunaikan haji akan digantikan oleh seorang penama yang akan melakukannya bagi pihak pemegang akaun berkenaan," katanya.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri berkata, mereka terdiri daripada 189 keluarga yang dipindahkan ke 18 buah pusat pemindahan.
Mereka yang baru dipindahkan ialah seramai 35 orang di daerah Kuala Krai, 306 (Kota Bharu), 101 (Machang), 197 (Pasir Mas), 21 (Pasir Puteh), dan 125 (Tanah Merah).
Sehingga pukul 8 pagi ini, paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang dan Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard melebihi paras bahaya iaitu 9.99 meter (paras bahaya 9 meter) di Rantau Panjang dan 16.12 meter (16 meter) di Jambatan Guillemard dengan paras air dilaporkan semakin meningkat. Cuaca pada sebelah pagi dilaporkan mendung dan petang hujan sekejap2.


JAKARTA 22 Nov. - Pahitnya untuk menelan kekalahan pasukan Garuda Muda di tangan pasukan Harimau Muda pada pertandingan akhir bola sepak Sukan SEA 2011 di Stadium Utama, Gelora Bung Karno di sini malam tadi telah menyebabkan ada pihak menghantar ugutan bunuh terhadap pelajar Malaysia di Indonesia.
Ugutan itu yang disebarkan malam tadi melalui pengguna twitter bernama @hikmat—maswara kepada akaun twitter sebahagian besar artis Malaysia selepas keputusan sepakan penalti menentukan Malaysia menang berbunyi: “Tomorrow I will kill Malaysia student at the University of Padjadjaran” di Jatinangor, Bandung.
Setelah mendapat kecaman, pengguna twitter itu telah memohon maaf atas tulisannya itu, namun pihak Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia tidak memandang ringan ugutan berkenaan dan telah membuat laporan polis berkaitan perkara itu.
Atase Pendidikan, yang juga Setiausaha I (Pendidikan) Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia, Ludinata Misnun berkata, twitter mengandungi ugutan itu telah tersebar luas di Malaysia.
"Selepas mendapat kecaman daripada pelbagai pihak, @hikmat—maswara telah memohon maaf di twitternya dan memaklumkan beliau tidak berniat untuk membunuh tetapi didasarkan rasa kecewanya atas kekalahan pasukan Indonesia kepada Malaysia dalam pertandingan akhir itu,” katanya di sini Selasa,” katanya.
Ludinata berkata, pimpinan PKPMI di Bandung telah membuat laporan polis pada pagi tadi di Jatinangor dan polis memberi jaminan akan menyiasat kes itu.
Pada masa yang sama Education Malaysia (EM) Indonesia dengan kerjasama Atase Polis dan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta akan memanjangkan perkara ini kepada Ibu Pejabat Polis Indonesia untuk tindakan selanjutnya.
"Saya juga telah menghubungi Rektor Universitas Padjadjaran, Bandung bagi meminta bantuan dan kerjasama universiti untuk memastikan keselamatan mahasiswa Malaysia di Universiti Padjadjaran, Bandung,” katanya.
Berikutan kes itu, EM Indonesia katanya telah meningkatkan pemantauan mahasiswa Malaysia di Bandung dan seluruh Indonesia.
Pada masa ini, ada 1,005 pelajar Malaysia menuntut di Universiti Padjajaran, iaitu mewakili sebahagian besar daripada sejumlah 1,148 pelajar Malaysia yang menuntut di institusi pendidikan tinggi sekitar Kota Bandung pada masa ini. - Bernama

DENMARK muncul sebagai negara pertama yang mengenakan kutipan cukai lemak terhadap barangan berasaskan lelemak seperti minyak sapi, mentega, minyak masak dan produk susu. Tujuannya murni, memastikan kesihatan rakyat negara itu terjamin.
Cukai yang dilaksanakan bermula pada 2 Oktober lepas itu bertujuan menjadikan makanan berlemak tidak ekonomikal kepada 5.6 juta penduduk negara itu setelah 19 peratus dari jumlah penduduknya kini obes.
Kadar cukai yang dikenakan ialah 16 kroner (RM8.90) untuk setiap sekilogram lemak tepu dalam setiap produk yang mempunyai kandungan lemak melebihi 2.3 peratus.
Secara tidak langsung, cukai ini menyumbang kepada peningkatan harga setiap 250 gram mentega.
Pelaksanaan cukai tersebut bagi mengurangkan pengambilan makanan berasaskan lemak di kalangan penduduk negara itu.
Idea pengenalan cukai itu juga diikuti oleh negara-negara Eropah yang lain seperti Hungary.
Hungary dengan 9.9 juta penduduk, mengenakan cukai lemak 0.37 euro (RM1.58) ke atas makanan siap diproses yang mempunyai kandungan gula, garam serta karbohidrat melebihi sukatan ditetapkan.
Ini bertujuan untuk mengurang kadar obesiti di negara itu yang berada pada tahap 18.8 peratus.
Adakah cukai lemak relevan dilaksanakan di negara ini?
Menurut bekas Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican, cukai lemak yang dilaksanakan di Denmark dan Hungary belum tiba masanya untuk dikuatkuasakan di negara ini.
“Jika kita mengikuti langkah Denmark mengenakan cukai ke atas barangan mengandungi lemak, ia tidak mengubah keadaan sebaliknya akan mencetus kemarahan pengusaha industri makanan tempatan.
“Mereka (pengusaha) pasti akan meminta kerajaan mengemukakan bukti kukuh produk lemak ialah penyumbang utama masalah obesiti,” katanya ketika ditemui Jurnal baru-baru ini.
Katanya, langkah pelaksanaan cukai lemak dianggap tidak relevan, sekurang-kurangnya buat sekarang.
“Andai kata kerajaan menaikkan cukai dan hasilnya kadar obesiti berkurangan, itu boleh diterima dan bukan semata-mata ingin mengikuti jejak langkah Denmark dan Hungary.
“Cukai lemak di Denmark memang relevan kerana negara itu maju selangkah ke hadapan dan perlaksanaan undang-undang selain turut dipersetujui oleh rakyat negara itu sendiri,” katanya.
Ismail berpendapat, implikasi cukai lemak tidak akan berjaya di negara ini dan langkah terbaik yang perlu dibuat ialah peningkatan dari sudut pendidikan serta maklumat lanjut termasuk kempen-kempen berkaitan kesihatan secara efektif.
Namun, hakikatnya tanpa pelaksanaan cukai lemak tersebut penduduk negara ini sedang berhadapan dengan majoriti penduduk menghadapi masalah obesiti.
Baru-baru ini media melaporkan, Malaysia menduduki tempat pertama di kalangan negara-negara ASEAN dan kedudukan keenam di rantau Asia Pasifik yang berhadapan masalah obesiti penduduk.
Fakta itu didedahkan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin di Parlimen.
Jelas Ismail Merican, semasa menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, beliau sering menasihatkan pesakit dan kakitangan hospital kerajaan supaya mengamalkan pemakanan seimbang dan berkualiti tetapi hakikatnya kurang dua peratus kakitangannya mengikut nasihat tersebut.
“Saya gemar makan nasi lemak sehingga hari ini tetapi dalam kuantiti sedikit dengan tambahan sayur-sayuran.
“Tidak perlu nasi lemak itu ditambah dengan telur goreng, ayam goreng, sotong dan sebagainya,” katanya.
Katanya lagi, beliau juga gemar berjoging selain sering naik turun tangga sehingga berpeluh.
“Tetapi, para kakitangan saya dulu menggunakan perkhidmatan lif walaupun menuju ke tingkat pertama,” katanya.
Jelas beliau, obesiti kini menjadi suatu ancaman di peringkat global menyaksikan trend masalah obesiti kian meningkat setiap tahun bukan sahaja melibatkan golongan muda dan tua malah juga kanak-kanak.
Sepertiga daripada penduduk negara mengalami masalah berat berlebihan atau obesiti.
“Kita belum mencapai ke tahap di mana rakyat kita tahu sepenuhnya mengenai masalah obesiti.
“Rakyat kita tahu akan kebaikan amalan pemakanan sihat dan senaman namun hanya 15 peratus rakyat mengamalkannya manakala 75 peratus lagi tidak mempraktikkannya,” ujarnya.
Katanya, negara masih kekurangan kemudahan taman rekreasi yang lengkap dengan peralatan senaman dan trek joging.
Tambahnya, beberapa taman rekreasi yang mempunyai kemudahan itu tidak sempurna dan selamat untuk digunakan kanak-kanak.
“Ada ibu bapa memilih untuk mengunjungi pusat senaman atau gim untuk bersenam namun berapa ramai antara kita yang mampu membayar yuran perkhidmatan setiap bulan,” katanya.
Dibuang kerja
Realitinya di negara ini, terdapat ramai lelaki yang mempunyai berat badan melampau.
Tidak terkecuali Balaji Muniandy, 44. Dia pernah mencecah 280 kilogram (kg) sehingga menyebabkan tahap kesihatan lelaki berasal dari Farlim, Bandar Baru Air Itam, Georgetown, Pulau Pinang ini dalam keadaan amat teruk.
Semuanya disebabkan dia diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan sebuah syarikat swasta.
Akibat tekanan selepas dibuang kerja, Balaji bertindak mengurung diri dalam rumah.
“Saya tertekan selepas dibuang kerja dan terus mengurung diri tanpa berbual dengan sesiapa pun,” katanya.
Bagaimanapun, fizikal Balaji sedikit berubah selepas menerima rawatan dan kawalan pemakanan yang diselia sepasukan pegawai perubatan Hospital Pulau Pinang.
Diet makanan yang hanya berasaskan jus buah-buahan susu rendah lemak serta bijirin berjaya mengurangkan berat badan Balaji sebanyak 80 kilogram dalam tempoh setahun lalu.
“Saya berputus asa pada mulanya kerana tidak yakin untuk mengurangkan berat badan, tetapi hasil rawatan serta nasihat doktor, saya berjaya mengurangkan berat badan daripada 280 kg kepada 200 kg sahaja.
“Dulu saya tidak boleh berdiri dengan baik selain memerlukan bantuan emak, tetapi kini saya boleh berdiri sendiri dan boleh berjalan dengan bantuan tongkat,” katanya.
KUALA LUMPUR 19 Nov. - Data rasmi Panduan Industri Air Malaysia 2011 mengenai bekalan air bersih di seluruh negara mendapati Kelantan menduduki tempat paling bawah, sehingga dilabelkan sebagai negeri yang memiliki air kurang selamat dan berisiko.
Fakta ini sudah pasti mengejutkan kira-kira 1.54 juta penduduk Kelantan. Selama ini sebahagiannya terpaksa bergantung kepada air perigi dan sungai disebabkan kegagalan pembekalan air terawat oleh Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB).
Kementerian Kesihatan menerusi uji kaji berasingan bagi tempoh 2008-2010, juga mendapati air di negeri itu mengandungi arsenik, merkuri, mangan dan plumbum, iaitu logam-logam yang kesemuanya boleh memudaratkan kesihatan termasuk mengakibatkan kanser.
Bertitik tolak daripada data saintifik itu, Mingguan Malaysia baru-baru ini menjalankan penyiasatan hampir dua bulan di negeri tersebut bagi mencari jawapan kepada persoalan yang tercetus daripada isu berkenaan.
Di samping menemu ramah penduduk, menyelami dan menyaksikan sendiri kesengsaraan mereka mendapatkan bekalan air bersih, wartawan akhbar ini turut memperoleh laporan penyelidikan saintifik Kementerian Kesihatan.
Tidak cukup dengan itu, Mingguan Malaysia mengambil masing-masing 10 sampel daripada punca air paip, air perigi dan air telaga tiub dari setiap jajahan di Kelantan.
Sampel air itu kemudian dihantar untuk diuji kaji di sebuah makmal bertauliah yang memiliki pengiktirafan MS ISO/IEC 17025 di Selangor, bagi mengetahui sejauh mana kualiti air di negeri tersebut.
Ujian makmal itu, memfokus kepada kandungan beberapa logam berat antaranya merkuri; arsenik; kadmium; kromium; perak; zink; sodium; sianida; kuprum; dan magnesium.
Rumusan laporan sembilan muka surat makmal tersebut mengesahkan bahawa kualiti air yang digunakan penduduk dalam kehidupan seharian di Kelantan sangat rendah malah berisiko tinggi kepada kesihatan.
Ancaman paling besar kepada kesihatan penduduk Kelantan adalah penemuan logam arsenik, mangan serta besi yang kandungannya melebihi kadar dibenarkan oleh Standard Kualiti Air Minuman 2009, Kementerian Kesihatan.
Paling memeranjatkan, air terawat yang dibekalkan oleh AKSB ke rumah-rumah juga tercemar. Sampel dari Bachok didapati mengandungi logam arsenik dan besi, masing-masing 0.025mg/l dan 2.15 mg/l. Kadar selamat dan dibenarkan untuk arsenik ialah 0.01mg/l manakala besi, 0.3mg/l.
Selain terdedah kepada penyakit kanser, kehadiran arsenik dalam kuantiti berlebihan itu secara berpanjangan pula meningkatkan risiko kanser pada kulit, paru-paru, pundi kencing serta hati.
Tidak cukup dengan risiko berkenaan, pendedahan kepada kandungan besi secara berlebihan boleh mendatangkan penyakit hati serta serangan jantung kepada penduduk negeri Kelantan.
Namun, bekalan air AKSB ke daerah lain didapati berada di bawah paras selamat yang ditetapkan.
Dalam pada itu, bagi kandungan arsenik dalam air mentah, hanya Pasir Puteh dan Kota Bharu menepati piawaian pihak berkuasa. Machang mencatat pencemaran paling tinggi iaitu 0.072 hingga 0.083 mg/l.
Walaupun air mentahnya tidak mengandungi arsenik, namun Kota Bharu tidak bebas pencemaran logam mangan. Ia muncul daerah tertinggi tercemar iaitu sekitar 0.38 mg/l diikuti Tumpat (0.31 mg/l) dan Pasir Puteh (0.28 mg/l).
Mangan boleh menyebabkan gangguan saraf dikenali ‘manganism’ (menggeletar seperti pesakit parkinson) selain gejala psikiatri seumpama halusinasi.
Kandungan mangan dalam air mentah di Bachok, Gua Musang, Machang serta Kuala Krai menepati standard kualiti air minuman yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.
Sementara itu, bagi pencemaran logam besi, Pasir Mas mencatat kandungan tertinggi iaitu antara 0.03 hingga 4.89 mg/l, diikuti Bachok (2.15-4.07 mg/l) dan Pasir Puteh (0.49-1.03 mg/l).
Sampel-sampel air dari semua daerah juga secara ketara didapati mengandungi logam-logam lain yang boleh menjejaskan kesihatan seperti merkuri, sainida, kadmium, sodium dan zink.
Bagaimanapun, kandungannya berada di bawah paras yang dibenarkan.
MAKKAH: Saintis dan ulama Islam mendesak waktu Makkah diguna pakai untuk menggantikan waktu antarabangsa 'Greenwich Meridian Time' atau dipanggil GMT kerana bandar raya suci umat Islam berkenaan terletak di lokasi sebenar pusat bumi. Umat Islam akan menghadap kiblat di Makkah setiap kali menunaikan solat.